Wednesday, July 4, 2012

~Mengisi cuti~ ^_^



 Baru beberapa hari aku bercuti... Alhamdulillah, kalau sebelum ni , cutiku menjadi 'suri rumah' sepenuh masa, kini Allah memberi peluang untukku menukar agenda cuti pada kali ini... kebetulan kekosongan guru di  Pasti  memberi peluang untukku menyumbang sesuatu. Ya Allah, permudahkan dan ilhamkanlah aku dalam mendidik...memandang mereka, aku berfikir, pembentukan bagaimana yang terbaik untuk menanam semangat pejuang dan cintakan ilmu... sebab fitrah budak-budak yang sangat suka bermain dan nakal sangat memberi cabaran, cara bercakap juga perlu sesuai mengikut level mereka.. teruskan belajar, Atiqah!

Lukman dan Lutfi
selalu kena buli adik nie~




sunat dhuha=)
^_^




Tuesday, July 3, 2012

::Seminar Keluarga Muslim::

           Alhamdulillah, Allah beri kesempatan masa untuk aku serta beberapa sahabat yang lain untuk menyertai seminar ini... teringat gelagat sahabat-sahabat lain yang mana apabila diajak ke seminar ini, ada yang berkata belum sampai masa dan sebagainya... namun secara peribadi, masa itu bukan masalahnya tetapi persediaan ke arah itu yang penting, biarpun bukan sekarang tetapi ketentuan Allah itu tidak kita ketahui.. bak kata ustazah Fatimah Syarha.... berkahwin itu ibarat berada dalam kapal ditengah-tengah lautan, yang mana badai, ombak tidak boleh dijangka.. tidak selalu tenang dan bila-bila masa ribut boleh melanda dan untuk menaikinya memerlukan persediaan yang rapi....Dan Alhamdulillah, melalui seminar ini, jelas keluarga muslim bukan semestinya menjurus pada perkahwinan, tetapi juga bagaimana kita ingin memuslimkan keluarga yang sedia ada. Untuk itu, akan kucuba berkongsi semampu yang boleh kukongsi..kerana tidaklah mampu untukku menceritakan 100% seperti yang disampaikan oleh panel, namun akan ku cuba memberi input secara kesimpulannya untuk slot-slot yang telah diberikan=)


Penceramah : En. Shamsudin bin Abd Kadir
Slot 1 : Urus Hutang, Hati Senang


Untuk slot pertama ini, perceramah banyak membincangkan bagaimana untuk menguruskan hutang dalam sesebuah keluarga, kerana hakikatnya hidup kita tidak akan lari dari berhutang terutamanya apabila kita ingin membeli kereta, rumah dan barang-barang keperluan lain untuk hidup. Suka aku kongsikan apa yang ditekankan oleh penceramah ialah untuk membeli sesuatu keperluan, pastikan yang kita benar-benar mampu untuk memilikinya barulah kita melakukan pembelian. Sebagai contoh, untuk membeli sebuah kereta, jika kita mampu membuat ansuran selama 4 tahun dan ke bawah, itu adalah mampu dan sebaik-baiknya pilihlah kereta yang mampu kita bayar dalam tempoh 4 tahun. Kesimpulannya, kita perlu merancang dan berhati-hati menguruskan pembelian kerana dalam sistem ekonomi yang tidak boleh lari dari riba, hutang yang terlalu lama akan memakan diri. Paling penting, tips menguruskan gaji yang kita peroleh ialah, perlulah kita menyimpan 10% untuk diri sendiri sebagai simpanan peribadi, 20% untuk hal-hal kecemasan dan 70% untuk perbelanjaan dan hal-hal lain mengikut keutamaan.


Slot 2 : Strategi Mengurut Ego Pasangan dan Mentua / Bakal Mentua


Slot seterusnya ini, En Shamsudin berkongsi pula tentang bagaimana kita hendak berdepan dengan pasangan, mentua atau bakal mentua. Kata kunci utama dalam menjaga hubungan terhadap pasangan dan mentua ialah Jangan Mencederakan Emosi setiap dari mereka. Bagaimana?


a) Ibu bapa mentua : sebolehnya elakkanlah mengkritik mereka walaupun nampak salah di mata kita atau sesuatu yang tidak kita sukai, namun pujian digalakkan, bukanlah pujian yang dibuat-buat, tetapi pujian ikhlas. Paling penting untuk seorang isteri ialah apabila atau andai suaminya mengkritik ahli keluarganya sendiri, seboleh-bolehnya si isteri janganlah menyokong amarah suaminya bairpun hanya berkata , "Ya , betul tu.." Lebih afdhal meredakan suaminya dengan pandangan yang positif..=) Begitu juga dengan ipar duai, sebolehnya tidak mencederakan emosi mereka dengan menjaga tingkah laku, adab dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara sama ada dari segi harta dan sebagainya.


b) Pasangan : Jika ingin bertanya sesuatu , elakkanlah menggunakan 'kenapa', tetapi gunakanlah 'apa', kerana perkataan kenapa itu seolah-olah ingin menghukum , dan perkataan apa itu bertujuan untuk mengetahui.. contohnya , 'apakah yang menyebabkan lambat ' dan sebagainya.... dan sebaiknya terimalah kelemahan pasangan kita dengan cara mengimbangi dan tampunglah kekurangan itu kerana hidup berpasangan adalah untuk saling menampung dan mengimbangi setiap kelemahan-kelemahannya, begitu juga dia akan mengimbangi apa yang kamu kurang.




Penceramah : Ustaz Pahrol bin Mohd Juai
Slot 3 : Ibu Bapa Derhaka


Slot ini antara slot yang sangat menarik untuk dikongsi kerana inilah realiti kehidupan masa kini. Ibu bapa derhaka, satu topik yang dikira menongkah arus, dalam kesibukan orang ramai menghukum anak derhaka, muncul satu istilah baru yang dipanggil ibu bapa derhaka... pembentangan yang bertenaga daripada Ustaz Pahrol , kata ustaz, Anak-anak yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya, adalah 'product' daripada ibu bapa yang derhaka, definisi ringkas ustaz mengenai ibu bapa yang derhaka ialah ibu bapa yang TIDAK mendoakan anak-anaknya. Ustaz tegaskan lagi, untuk mendapat anak-anak yang baik, ibu bapa itu terlebih dahulu kene jadi baik, bermula daripada sebelum kahwin lagi. Ibu bapa derhaka juga adalah ibu bapa yang tidak menunaikan hak anak-anaknya. Apakah hak seorang anak terhadap ibu bapanya? Iaitu mendapat ibu yang baik, mendapat nama yang baik dan diajarkan Al-Quran kepadanya. Sebab itulah, ustaz menyatakan bahawa pendidikan awal anak-anak adalah bermula daripada seorang lelaki memilih seorang perempuan sebagai isterinya.


Benarlah tugas ibu bapa adalah pekerjaan yang paling profesional berbanding dengan pekerjaan profesional yang lain seperti engineer, doktor dan sebagainya.Kerana apa? Kerana seorang ibu dan bapa akan menghadapi anak-anak yang pelbagai jenis ragam dan telatah serta berbeza perangai setiap satunya. Sebagai ibubapa, mereka perlu peka dalam menilai sifat-sifat mazmumah yang wujud pada anak-anaknya, perlu tahu membezakan nakal dan jahat... bak kata ustaz, sifat semulajadi kanak-kanak yang lasak seperti memanjat, memecahkan barang, mengotorkan kawasan dan sebagainya; itu adalah nakal, tetapi apabila dia membuat kesalahan , dia menipu, itu sudah jadi jahat...sehubungan itu...ibu bapa yang gagal atau salah dalam menangani kenakalan akan menjadi jahat akhirnya....


Dalam memberi nasihat dan tunjuk ajar pada anak-anak, ibubapa itu mestilah cakap dari hati ke hati..kerana komunikasi antara manusia adalah cakap melalui hati ke hati ( heart-to-heart ). Seterusnya ustaz membentangkan tugas sebagai ibu dan bapa. Kita mulakan dengan bapa dahulu=)


1) BAPA - merupakan tunggak dan pemimpin dalam sesebuah keluarga. Tanggugjawab bapa pada zahirnya adalah memberikan kelengkapan infrastruktur dalam menyara keluarganya. Manakala tugas bapa pada batinnya ialah mendidik dan memimpin anak-anak dengan ilmu.  Dalam menyerlahkan bapa sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga ialah melalui peranan seorang ibu. Isteri perlu 'membesarkan' suaminya di hadapan anak-anaknya yakni jangan sesekali memperkecilkan suami depan anak-anaknya. Sebagai bapa pula, sekiranya sesuatu perkara berlaku seperti musibah, kecelakaan, ujian dan dugaan yang menimpa, dia perlu menjadi seorang yang paling tenang biarpun di dalam hati merasai kacau dan gelisah. Pada wajahnya hanya perlu mempamerkan ketenangan kerana dia merupakan nakhoda sebuah 'kapal' yang mana jika nakhodanya gelabah dan tidak tenang... karamlah kapal itu=( Kesimpulannya... seorang bapa perlu ada pengaruh , tauladan dan dipercayai... dan dipercayai ini lebih penting dan utama daripada dicintai kerana kita boleh hilang kepercayaan kepada seseorang sedangkan hati masih mencintai. Dengan kata lain, cinta masih wujud namun kepercayaan sudah hilang. Oleh itu, tersangat penting bapa itu seorang yang sangat dipercayai kewibawaannya dan isteri perlu memainkan peranannya dalam membantu suaminya menjadi bapa yang berwibawa.


2) IBU - merupakan pengurus rumah tangga, yakni 'manager'


Ustaz memulakan bicara mengenai ibu dengan mengatakan, " Hadiah paling terbaik seorang bapa  kepada anak-anaknya ialah menyayangi ibu anak-anaknya...", yakni jangan sesekali menunjukkan benci dan marah pada ibu mereka di depan mereka kerana di dalam hatinya akan terselit rasa kecewa dan pilu jika ayahnya membenci ibu mereka. Dan ustaz menekankan bahawa seorang isteri perlu mengawlakan, mengutamakan suaminya mendahului anak-anaknya kerana , kedudukan seorang isteri di sisi suaminya diibaratkan, jika ada hukum syari'e yang membolehkan seorang manusia menyembah manusia lain, nescaya seorang isteri itu perlu menyembah suaminya, namun tiada dalam ajaran Islam manusia menyembah manusia...yang mana perumpamaan ini menunjukkan pentingnya soal ketaatan seorang isteri kepada suaminya.


Seterusnya ustaz menerangkan tentang trilogi cinta, iaitu trilogi cinta antara suami isteri dan anak-anak=)


Seorang suami hendaklah takut kepada Allah sewaktu mendidik isterinya, manakala isteri pula perlu taat dan mendahului suami daripada anak-anaknya. Manakala anak-anak pula perlu mentaati ibu melebihi bapanya . Cantiknya trilogi cinta ini kerana jika dipatuhi.... anak-anak akan memberi cinta pada ibunya yang mana ibunya akan membawa cinta itu kepada bapanya dan akhirnya bapanya itu akan memulangkan kesemua cinta itu kepada Allah S.W.T.




Kata ustaz Pahrol lagi...apakah yang dimaksudkan sepasang suami dan isteri itu saling mencintai kerana Allah? Ia bermaksud isteri yang taat pada suami, dan suami pula taat pada Allah, lalu suami yang menerima cinta daripada isterinya perlu memulangkan cinta yang diterima daripada isterinya kepada Allah S.W.T, barulah ia menjadi cinta kerana Allah....


Selain itu, selalu kita dengar, suami akan mengatakan , dia mencintai isterinya, manakala isteri juga mengatakan dia mencintai suaminya, lalu timbul soalan..antara mereka berdua , siapakah sukatan cinta melebihi pasangannya, yakni siapakah yang lebih menyayangi pasangannya? Jawapannya, siapa yang mencintai Allah lebih, maka dialah lebih menyayangi pasangannya kerana jika kita cinta lebih pada Allah, maka kita mampu menyayangi lebih ramai manusia dan makhlukNYa... contoh paling dekat , Rasulullah S.A.W, disebabkan terlalu tinggi cinta baginda pada Allah, baginda mampu mencintai ramai manusia termasuk golongan bukan Islam dan lebih menakjubkan, mampu mencintai umatnya yang tidak pernah baginda jumpa, ( kita )...hebatkan? mengapa? Kerana tingginya cinta baginda pada Allah S.W.T. Perlu diingatkan, halalnya hubungan antara suami dan isteri adalah dengan nama Allah....Wallahualam. Ini sahaja setakat ini mampu ku kongsikan, walhal sangat banyak mutiara berharga yang kuterima namun kudrat dan masaku membatasi keinginan untuk berkongsi lebih... semoga bermanfaat buat semua... sama-sama berusaha membina keluarga Islam kerana cara hidup yang syumul bermula daripada institusi kekeluargaan itu.


 p/s : esok nisfu sya'aban..selamat beramal..coundown to Ramadhan=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...