Monday, September 19, 2011

~Selamat Kembali ke alam Kampus~=)


Bismillahhirrahmannirrahim....

Memandangkan di awal semester ini banyak perkara perlu kuselesaikan, tidak terupdate blog ini...Walaupun kelihatan agak lambat, ingin diri ini mengucapkan ahlan wasahlan buat adik-adik dan sahabat-sahabat yang baru sahaja memulakan semester baru dan semestinya dengan azam yang baru untuk mentajdid hamasah untuk belajar kembali..moga hamasah ini bukan di awal semester sahaja....untuk itu, ingin diriku berkongsi artikel yang ku jumpa di laman web iluvislam, hanya ini yang mampu kucoretkan untuk kali ini, moga ambil ibrah bersama-sama....

~Selamat Mujahadah dalam menuntut ilmu=)~


Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau:

"Aku memperlajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu" [Mansuah al Adab al Islamiah : 15]

Pada pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'. Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.

Dalil Menuntut Ilmu

Dalam Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." [At Taubah 9 : 122]

Dan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" [HR Bukhari dan Muslim]

Adab Menuntut Ilmu

01.Niat yang ikhlas


Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]

Niat itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam hati tiap-tiap manusia.

02.Beradab dengan orang yang memberi ilmu


Imam Syafie pernah bekata:

"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]

Pada pendapat saya dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa dengan pensyarah.

03.Bersabar dalam menuntut ilmu


Imam Syafie pernah berkata:

"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237

04. Tulis setiap yang dipelajari


Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?

Abu Hurairah berkata:

"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]

05.Rendah diri


Imam Ahmad bin Hambal berkata:

"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274]

06.Menjahui dari kenyang yang berlebihan


Ibn Jama'ah berkata:

"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222]

07.Tidur yang sedikit


Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]

08.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam." [HR Bukhari dan Muslim]


Sebagai penutup, ingatlah kembali tujuan utama kita menuntut ilmu di dunia... bukan kerana ingin mendapat pekerjaan yang hebat, ingin dipandang tinggi tetapi adalah usaha untuk mencapai tahap ketaqwaan kepada Allah S.W.T... moga kita sama-sama ikhlaskan niat untuk menuntut ilmu...=) allahumma amiin..=)

Adakah dia jodohku?

"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.

Tiada terfikir, Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.

Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"

Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.

Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.

Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.

Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!

Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.

Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!

Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?

Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.

Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.

Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.

Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?

Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.

Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.

Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.

Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.

Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.

Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah S.W.T.

p/s : Semoga kita sentiasa di atas landasan yang betul... berdoalah pada Allah agar kita dijauhkan dari masalah hati dan maksiat kerana ini hanya akan menyebabkan kita hilang fokus pada perkara yang lebih besar dan utama... usahlah kita mencari cinta, tetapi biarlah kita mendapat cinta yang diberi oleh Allah S.W.T.... bukan cinta yang dicari sendiri...cinta yang diberi lebih bermakna dan diredhai daripada cinta yang dicari sendiri... ~gemerlapkan hatimu dengan cinta Allah dan Rasulullah~

Jazakumullahhu kheir...(^0^)~~





Friday, September 2, 2011

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ~ Buat Arwah Farid, sepupuku...



Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim...ku memulakan coretan di sini... sesuatu yang ingin ku luahkan.. berkongsi dan bermuhasabah bersama....

3 September 2011, Lebih kurang jam 1.00 pagi.....

Aku dan adik dikejut ibuku... menyampaikan satu berita sedih...memaklumkan bahawa kami telah kehilangan salah seorang sepupu kami... Farid yang baru berusia 18 tahun... akibat kemalangan di Tapah... dan beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ipoh...Maha suci Allah yang memperlihat keagunganNya... ,innalillahi wa innalillahi rojiun..... hanya itu ungkapan terbaik yang mampu kuucapkan.... Sesungguhnya dia telah kembali pada Allah.... Allah telah mengambil semula apa yang menjadi MILIKNYA... Farid bukanlah sepupuku yang rapat denganku... tetapi ibu selalu berpesan.... sepupu-sepupu kau sama macam adik beradik juga... kerana dari asal darah daging yang sama... maka kehilangannya tetap dirasai...teman sepermainanku semasa kecil....dan dikala ku mencoret kalam bisuku di sini, ibu, bapa dan adikku Ikram sedang menuju ke Ipoh.. hanya doa yang mampu kuiringi moga Allah selamatkan perjalan mereka.. kerana ketentuan Mu tidak kami ketahui ya Allah....


Ya Allah...di saat ini... terpamer keagungan dan kekuasaanMu... memperlihatkan pada hamba-hambaMu yang lemah ini bahawa tidak ada satu kuasa dapat melawan kuasaMu ya Allah,
Setiap yang hidup pasti merasai kematian... kerana dunia ini bersifat sementara... dunia ini tidak kekal, dunia ini adalah ladang akhirat.... Hari raya pertama, ku melihat arwah sedang tidur ketika kami pulang ke kampung... tetapi tidak ku sangka, itulah kali terakhir kami melihatnya... tidak tersangka bahawa Allah memberi pada arwah Farid 5 hari sahaja lagi untuk hidup.... ketentuan Allah satu kepastian, apabila ajal telah tiba, tidak cepat sesaat mahupun lambat sesaat....

Ya Allah, moga kau memberi Rahmat pada arwah Farid kerana.... Kau menentukan tidaklah kami masuk syurga melainkan dengan RahmatMu Ya Allah...ampunilah dosa-dosa arwah kerana kami hamba yang lemah lagi naif, tidak terlepas melakukan dosa dan maksiat padaMu ya Allah....

Dinihari ini, ku koreksi diriku... mengimbau dosa-dosa yang aku lakukan.. andai aku berada di tempat arwah Farid... bersediakah aku menempuh alam barzakh...alam yang hanya aku seorang di dalamnya... tidak ada apa yang dapat membantuku melainkan amalku.. itupun jika amalku Allah terima, namun aku bimbang, ada khilaf dalam amalku menyebabkan aku menempuhinya dengan tangan kosong, tiada amal yang Allah terima.... Ya Allah, pandulah aku serta keluargaku, ibu bapaku, adik-adikku, datuk dan nenekku, saudara-mara jauh dan dekatku, serta umat Islam keseluruhannya di atas jalan lurus yang Kau redhai... agar ada bekalan yang cukup untuk menempuhi akhiratMu...

3 september, Allah mengambil kembali jasad yang dipinjamkan pada arwah... sungguh.. dunia ini hanya pinjaman semata-mata.... Allah layak mengambil kembali apa yang menjadi hak milikNya...

Sebagai penutup pada coretan ini, ku ingin menasihati diriku.... serta sesiapa yang membaca entri ini....

Atiqah,

jadilah hamba pada ALLAH, jangan jadi hamba pada duniawi,
jadilah anak yang solehah pada ibu dan bapamu, taatilah mereka...,
rendahkanlah dirimu bila berhadapan dengan makhluk ciptaan Allah yang lain, jangan sombong dan takbur,
jangan kau mengejar kecantikan dan kemewahan dunia, kerana semuanya bersifat sementara,
perbaikilah dirimu, dan ajaklah orang lain bersama..,
dan...
andai Allah memberi peluang padamu untuk menjadi seorang isteri, taatlah, cintailah dan setialah hanya pada dia demi bersama-sama menggapai redha Allah...
moga-moga kau berpeluang melahirkan dan mendidik insan-insan yang bakal lahir sebagai mujahid dan mujahidah...
serta...
perkara paling PERTAMA dan UTAMA..... TAATLAH PADA ALLAH YANG MENCIPTAKAN KAU, CONTOHILAH RASULULLAH YANG ALLAH UTUSKAN SEBAGAI PEDOMAN BUAT HAMBA-HAMBA ALLAH.........DUHAI ATIQAH......


-allahyarham Farid, dalam kenangan-




إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
sesungguhnya dari ALLAH kita datang, kepadaNyalah kita kembali....
Wallahulam.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...