Wednesday, May 18, 2011

4 SYARAT HIDUPKAN HATI DENGAN ALQURAN



Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang.

Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.

Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.

Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.

Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan.

Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.

Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:

"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:


Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.

Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.

Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

Saturday, May 14, 2011

~Kesucian Dalam Perjuangan~


Sebagai umat yang mengaku diri kita pejuang agama Allah, tentu sahaja seruan jihad menjadi priority dalam kehidupannya… Pada abad ini, kita dapat lihat banyaknya gerakan-gerakan reformasi demi membangkitkan semula syiar ISLAM… banyaknya Jemaah ditubuhkan di negara-negara ISLAM dan matlamatnya satu, untuk menegakkan kembali agama Allah ini…

Dan sememangnya pejuang-pejuang Allah ini sentiasa berusaha memantapkan akidah, iman dan hammasah yang kental lagi jitu dalam membawa syiar Islam… dan sesungguhnya orang-orang yang sudi menjadi pejuang dan penolong agama Allah ini akan dikurniakan kekuatan sebagaimana janji Allah dalam surah assoff, ayat 14…

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang."


Bila kita kata kita ingin berjuang, maka perkara utama yang perlu kita jaga dalam berjuang ini adalah kesucian dalam perjuangan… satu ungkapan yang saya dapat daripada seorang sahabat. Betapa kita teguh menyatakan pendirian bahawa kita adalah golongan yang ingin membawa Islam, namun apalah ertinya semua usaha ini jika kesucian itu tidak dijaga.. kita kata kita berjuang, tapi masih melakukan maksiat, kita kata nak bawa ISLAM, tapi tidak menjaga ikhtilat dengan baik, kita kata kita ansorullah, tetapi tidak menjaga hubungan dengan Allah,kita kata kita berjihad dan sanggup berkorban, tetapi dalam jiwa masih ada cintakan duniawi melebihi ukhrawi, kita kata nak kembalikan khilafah, tetapi masih berakhlak buruk yakni mazmumah.

Semestinya Semua orang boleh mengaku bahawa dirinya adalah pejuang untuk Agama tercinta ini, tetapi belum tentu dapat menjaga kesucian perjuangan ini dengan sempurna. Namun, bukan kesempurnaan yang menjadi kayu ukur, tetapi usaha untuk menjaga kesucian dalam berjuang itulah yang lebih Allah nilai. Berjuang untuk Islam ini adalah satu perjuangan yang suci, maka adalah tidak wajar kita mencemarinya dengan kotoran-kotoran maksiat yang boleh melalaikan.

Bagaimana kita ingin mendapatkan bantuan dan rahmat Allah, dalam waktu yang sama kita tidak menjaga kesuciannya?Amat membimbangkan jika usaha berdakwah yang kita lakukan seakan tidak mendapat pertolongan Allah, seolah-olah terhijab daripada bantuanNya... maka muhasabah kembali, adakah kita menjaga kesucian diri, jiwa dan rohani, pemikiran dan tindakan kita?

Jika kita menyingkap kembali sirah-sirah perjuangan dalam Islam, berjihad demi agama Allah, betapa pejuangnya berjuang dengan hammasah yang padu, jiwa yang kental, sanggup menghadapi mehnah dan tribulasi, berkorban harta, jiwa dan masa tanpa mengeluh. Dari mana mereka mendapat kekuatan yang sebegini? Bagaimana mereka dapat membina jamaah yang kukuh seperti Ikhwanul Muslimin? Semestinya mereka menjaga kesucian perjuangan mereka itu, mereka beramal ibadat dengan sahih, mereka berakhlak dengan akhlak yang mulia,mereka memperkasakan hubungan dengan ALLAH, menjaga habluminannas dan habluminallah dengan sempurna dan berjihad dengan bersungguh-sungguh. Semuanya kerana apa? Kerana ingin menjaga KESUCIAN DALAM PERJUANGAN seterusnya mendapat bantuan dari ALLAH S.W.T…

Sehubungan itu, marilah bersama-sama kita menjaga kesucian jiwa, kesucian hati, kesucian pemikiran, kesucian dalam tindakan, kesucian dalam amal ibadat dan kesucian niat untuk berjuang demi ISLAM… Perjelaskanlah matlamat perjuangan, sedarlah wahai Ansorullah, Jika kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita, tetapi pertolongan itu tidak dapat kita gapai andai perjuangan itu tidak suci. Cara paling ampuh untuk menjaga kesucian ini ialah sentiasa meletakkan matlamat perjuangan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah di hadapan supaya tindakan kita tidak terpesong dari jalan yang lurus seterusnya mengkhianati kesucian perjuangan ini dengan tangan yang dicemari dengan kotoran maksiat.

Semoga setiap langkah kita dalam berjuang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah agar perjuangan kita lebih suci dan menyucikan....SEKIAN...SALAM JIHAD.

Sunday, May 8, 2011

LANGIT ILAHI 2 : Kembara Hamba Mencari Cahaya....


“Ilmu itu adalah cahaya dan cahaya itu tidak akan menyimbah di hati orang-orang yang melakukan maksiat-Imam Syafi’i-“

Alhamdulillah, pada waktu kelapangan yang Allah beri ini, saya berkesempatan untuk meneruskan berkongsi peringatan berharga daripada pembacaan buku siri kedua langit ilahi iaitu kembara hamba mencari cahaya. Buku kedua siri langit ilahi ini, penulis banyak berkongsi tentang pengembaraan hidup yang perlu kita jalani sebagai hamba Allah… ada beberapa bab yang saya rasa menarik untuk dikongsi sebagai pengetahuan tambahan kita bersama. Jom singkap satu-persatu isi kandungan buku ini, tapi hanya sebahagian sahajalah yang akan dikongsi, jika ingin tahu lebih, boleh baca sendiri=)!

1) Manusia tidak mampu berdiri sendiri

Sebelum saya memulakan coretan ini, suka saya bertanya pada anda… dalam hidup anda, pernahkah anda hidup seorang diri? Pernahkah anda belajar seorang diri dalam kelas, anda adalah guru, anda juga adalah murid? Di tempat kerja pula, anda adalah bos, anda juga adalah pekerja? Hehe… saya rasa kalau begitulah kehidupan kita, tak perlu hidup pun takpe… maka setelah kita kaji perjalanan hidup kita, jelaslah bahawa kita memang tak mampu hidup seorang diri… bagaimana angkuh pun kita katakan bahawa kita boleh hidup seorang diri, tak perlukan bantuan sesiapa… setakat manalah kemampuan itu…Dan apa yang paling ditekankan dalam bab ini ialah, manusia tidak boleh berdiri sendiri tanpa Bantuan ALLAH… hatta di dewan peperiksaan sekalipun, pergantungan kita hanyalah pada Allah semata-mata… saat di mana tiada seorang manusia pun yang mampu membantu kita, jangan lupa bahawa Allah ada untuk membantu kerana hanya Dia seorang yang memahami hambaNya… hanya Dia yang tahu apa yang diperlukan oelh hambaNya… dan ingatlah bahwa sifat Qiyamuhu Binafsihi hanya untuk Allah S.W.T sahaja… sehebat mana pun manusia itu mampu berdikari, dia takkan lari dari pergantungan kepada Allah, kerana percaturan hidup kita ada dalam genggaman Allah S.W.T… masihkah kita mahu berkata, “aku boleh hidup seorang tanpa bantuan sesiapa…”

Namun, hakikat dalam hidup, memang kita tidak boleh bergantung pada orang lain dan harus belajar berdikari. Mereka yang boleh berdikari itu sememangnya akan menjadi manusia hebat tetapi kadangkala ada juga timbul perasaan angkuh bahawa dia mencapai sesuatu kejayaan kerana usahanya sendiri dan di sinilah konsep manusia tidak boleh hidup sendiri kita gunakan. Walau macam mana hebat pun kita dalam mencapai kejayaan sesuatu perkara, sentiasalah ingat bahawa ada Allah bersamanya. Jika Allah tidak izinkan kita untuk mendapat kejayaan yang diusahakan, kita tetap tidak akan dapat. Dan Allah telahpun berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 152,

“Ingatlah aku, maka aku akan mengingati kamu, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (terhadap-Ku)”

Sehubungan itu, pengajaran yang boleh kita dapat ialah setiap kejayaan yang kita miliki, harus kita kembalikan pujiannya kepada Allah S.W.T… sehebat manapun pencapaian kita sekarang, ada Allah di sisi yang membantu kita dan bukan usaha kita semata-mata.

2) Bercintalah Kerana Allah.

Saya suka nak berkongsi tentang ini kerana ia berkait dengan reality kehidupan masa kini dan apa yang berlaku depan mata kita.Jika anda ada pengalaman bergaul dengan masyarakat hari ini, saya pasti anda tidak terlepas dari melihat situasi-situasi yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Apakah ia? Pernah dengar istilah ‘bergaduh’, ‘perpecahan’, ‘tak puas hati dengan seseorang’….? Saya yakin sebagai insan biasa kita memang tak akan terlepas dari perkara sebegini…. Kadang-kadang pelik apabila kita lihat dua orang sahabat yang sangat rapat, tetapi akhirnya bergaduh dan kutuk-mengutuk, bermasam muka dan tidak bertegur sapa..padahal dia cukup kenal perangai masing-masing… dan inilah jawapannya. Kita tidak bersahabat atas dasar kasih sayang kerana Allah…

Tahukah kita bagaimana nak membina ukhuwah? Ramai akan memberi jawapan, kenal sahabat kita sedalam-dalamnya, tahu apa yang dia suka dan tak suka, tahu latar belakang dia dan sebagainya…. Cukupkah ini sahaja , maka kita dah Berjaya membina satu ikatan ukhuwah yang mantap?

Jika ya, saya ingin berkongsi tentang satu kisah yang tertulis dalam buku ini.. iaitu mengenai Abdullah ibn Ubay ibn Salul.Dia merupakan sahabat Rasulullah S.A.W, seorang yang sangat rapat dengan Rasulullah dan hidup di sisi Rasulullah S.A.W… dan dia sangat mengenali akhlak mulia yang terpamer pada Rasulullah S.A.W, budi pekerti baginda dan tahu bahawa baginda adalah rasul terakhir utusan Allah S.W.T, bahkan Rasulu;lh itu sangat baik kepada Abdullah ibn Ubay ibn Salul. Namun, adakah Abdullah ibn Ubay ibn Salul ini berbuat baik pada Rasulullah?

Sudah tentu TIDAK. Dia adalah ketua munafik yang menghasut 300 orang tentera Uhud supaya lari dari medan peperangan dan berpatah balik ke Madinah.Malah betapa busuknya hati Abdullah ini menyatakan bahawa Rasulullah itu lebih hina daripadanya dan bercita-cita untuk menghalau Rasulullah SAW dari Madinah. Dan dia jugalah yang menyebarkan fitnah terhadap isteri Rasulullah, Aisyah.

Persoalannya, mengapakah dia bersikap sedemikian sedangkan dia adalah sahabat yang rapat kepada Rasulullah? Jawapannya hanya satu.. kerana dia tidak hadirkan rasa cinta kepada Allah, dia tidak sayang kepada Rasulullah kerana Allah…

Cuba kita selidik pula diri kita, malahan saya sendiri, adakah saya bersahabat dengan sahabat saya sekarang beserta dengan hadirnya kasih sayang kerana Allah… Subhanallah, indahnya bersahabat kerna Allah. Benarlah.. dalam persahabatan dan membina ukhuwah, tidak akan manis jika tidak hadirnya cinta kerana Allah ini. Suka saya memetik tulisan di dalam buku ini yang berbunyi,

Ukhuwah tanpa hubungan cinta dan kasih sayang yang mendalam hanyalah ukhuwah yang rapuh. Tanpa cinta, pasti tidak akan wujud sikap berlapang dada antara manusia.Mengenali sifat, perilaku, akhlak, peribadi dan sejarah seseorang bukanlah sesuatu yang mencukupi sebenarnya.Semuanya hanyalah zahir semata-mata, bahkan jika kita tahu kebaikannya, keluhuran hatinya, mungkin kita belum tentu menyukainya. Kita mungkin tidak akan menyukainya kerana dalam hati kita, ada satu hijab yang hanya boleh dibuka dengan kunci cinta kerana Allah.

3) Selesaikan urusan Allah, Allah akan selesaikan urusan kita

Membaca ungkapan ini, apakah yang boleh kita faham darinya? Apakah yang dimaksudkan dengan selesaikan urusan Allah? Dalam buku ini ada dikisahkan tentang zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz… Kenal tak dengan Umar Abdul Aziz ini? Beliau adalah daripada keturunan Saidina Umar Al-Khatab… tetapi apa yang nak di kisahkan di sini ialah bagaimana hebatnya beliau memerintah negeri beliau malahan tidak pernah ada dalam sejarah pemerintahan sifar kemiskinan dalam kalangan rakyatnya… tetapi hal ini berlaku ketika pemerintahan Umar Abdul Aziz.. ajaib tak? Pada saya ini sesuatu yang luar biasa sebab untuk memastikan dalam sesebuah negara itu tiada rakyat yang miskin…amatlah mustahil.. cuba kita lihat dalam negara kita ni pun cukup… masih ramai rakyat yang miskin di pelosok-pelosok kampung dan daerah… bukan itu sahaja, keadaan kerajaan Umar Abdul Aziz juga sangat aman dan makmur… nak dikatakan makmur nye, hinggakan jika gerai ditinggalkan, takkan ada pencuri hendak mencuri di gerai tersebut… apakah rahsia Umar Abdul Aziz sebenarnya? Maka apabila ditanya kepada beliau, nak tahu apa jawapannya? Beliau berkata,

“Aku menyelesaikan urusan aku dengan Allah terlebih dahulu, maka Allah menyelesaikan urusanku dengan rakyat dan kerajaanku”

Owh, jadi itulah rahsianya, jika begitu tidak hairanlah begitu sekali hebat pemerintahan beliau.Jika dihitung kembali, kita ini tidak ada rakyat pun untuk dijaga, belum ada harta untuk dijaga, maka rasanya jika kita selesaikan urusan kita dengan Allah, tiada sebab untuk Allah tidak membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan Allah.


Hmm… inilah antara pengisian yang saya rasa bermakna untuk berkongsi dan sebenarnya sangat banyak lagi isi-isi kandungan dalam buku ini yang begitu berharga untuk dikongsi namun kudrat saya sampai sini dahulu untuk kali ini….. sekian…wassalam=)

InsyaAllah, Langit Ilahi ketiga akan datang saya kongsi, tunggu habis baca=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...